"Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing2 terus terjamin & menggalakkan peranan agama serta nilai2 sejagat untuk menegakkan kebenaran,keadilan,ketinggian akhlak,pembangunan insan & martabat manusia"

Kes Mata Lebam: Lapan bulan laporan telah dibuat, tiada sebarang tindakan

Friday, February 20, 2009

PETALING JAYA, 20 FEBRUARI (SK) -Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim melahirkan rasa kekesalan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gagal mengambil sebarang tindakan setelah lapan bulan laporan dibuat.


Menurut Anwar sehingga kini tiada tindakan diambil keatas pembabitan Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang dikatakan memalsukan bukti penyiasatan kes mata lebam beliau pada tahun 1998.


“Saya kesal kerana setelah hampir lapan bulan laporan dibuat, tiada sebarang tindakan yang diambil SPRM,” katanya kepada media pagi ini.


Menurutnya, beliau masih meragui dengan siasatan yang dilakukan kerana Peguam Negara sendiri terlibat dalam kes berkenaan.


“Selain itu, saya diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz bahawa kertas siasatan tersebut sudah pun berada di Kamar Peguam Negara.


“Kita merasa ragu akan kebebasan siasatan tersebut kerana Peguam Negara sendiri terbabit sebagai mereka yang berkonspirasi memalsukan bukti,” katanya.


Anwar berkata sedemikian selepas membuat laporan polis kedua berhubung pembabitan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dikatakan memalsukan bukti penyiasatan kes mata lebam beliau pada tahun 1998.


Laporan berkenaan dibuat kira-kira jam 11.30 pagi tadi di Balai Polis Damansara dan ditemani peguam beliau yang juga Naib Presiden KeADILan Sivarasa Rasiah.


Dalam laporan yang dibuat hari ini, Anwar berkata beliau menambah maklumat berhubung pembabitan Abdul Gani dan Musa dalam memalsukan laporan polis mengenai penahanan beliau yang dilakukan oleh ACP Koh Hong San pada 21 September 1998.


“Laporan tersebut menyatakan saya ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), bukannya kerana kes tuduhan liwat seperti yang dinyatakan oleh Koh beberapa jam sebelumnya di rumah saya.


“Ini dilakukan kerana mereka bertujuan menyembunyikan kecederaan saya daripada diketahui umum serta memastikan saya tidak perlu dihadapkan ke mahmakah sesegera mungkin,” katanya.


Anwar telah ditahan pada 20 September 1998 dan telah dibawa ke Bukit Aman sebelum dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Rahim Noor sehingga menyebabkan kecederaan teruk dibeberapa bahagian badanya termasuk matanya yang lebam.


Ketika itu Musa menjawat jawatan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes terhadap Anwar sementara Gani pula adalah ketua pendakwaraya.

Read more...

SPR Keterlaluan Ikut Telunjuk Najib

Friday, February 13, 2009

Sebaik nama Tan Sri Aziz diumumkan sebagai pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya kaitkan prestasi dan rekod baiknya dalam perkhidmatan awam. Kebimbangan saya hanya keupayaan beliau mengendali SPR yang tercemar sebagai alat ampuh pimpinan UMNO-BN yang tidak mampu memikul amanah dengan jujur dan adil.

Agak mengejutkan kerana harapan tipis kecundang dalam tempoh singkat. Keputusan SPR mengenepikan keputusan Speaker DUN Negeri Perak mengenai perletakan jawatan ADUN menjurus kepada kesediaan mudah SPR menjadikan diri sebagai kuda tunggangan. Tan Sri Aziz gagal membedakan antara tugas seorang KSU dengan Pengerusi SPR.

Dan kini dengan menganjak tarikh pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau selewat mungkin satelah selesai pemilihan Umno, SPR bertindak keterlaluan menurut telunjuk Dato' Seri Najib.

Kepada Allah SWT kita berserah disamping kerja kuat dalam saf untuk memastikan kezaliman, penipuan dan rasuah ditumpaskan.

ANWAR IBRAHIM

Read more...

DSAI Hargai Sumbangan Para Bloggers

Thursday, February 12, 2009

Menyampaikan maklumat jelas dan tepat adalah tanggungjawab semua RAKYAT yang inginkan keadilan dan kesejahteraan subur di negara tercinta, Malaysia. Kita boleh memainkan peranan yang berkesan dalam penyalurkan maklumat ini dengan berbagai cara dan pendekatan. 

Sebagai golongan yang ditindas dan dinafikan hak untuk menghebahkan tentang kezaliman, penipuan dan pendustaan kerajaan UMNO/BN, RAKYAT yang prihatin, berkemampuan dan berkesempatan bisa saja melakukannya melalui kaedah yang murah dan santai. 

Sesetengah RAKYAT menyampaikan berita benar melalui blog dan laman web. Sebahagiannya menyampaikan maklumat ringkas melalui 'SMS'. Ramai yang menyampaikan pandangan dan titipan minda melalui ruangan komen di blog dan laman web yang mereka lawati. Semua ini adalah sebahagian daripada sumbangan yang insyaALLAH dapat menjana kepada revolusi
mental kearah yang lebih positif. 

Dalam hubungan memperkasakan minda dengan berita-berita benar melalui blog dan laman web, samada oleh pengendali blog atau penitip komen, sumbangan mereka diberi perhatian dan penghargaan jelas oleh pimpinan Pakatan Rakyat terutama oleh Anwar Ibrahim; 

"Tindakan Kementerian Dalam Negeri yang bertindak merampas nashkah Suara Keadilan dan Harakah jelas menggambarkan ketidakmatangan Umno berhadapan dengan realiti kebangkitan rakyat. Saya yakin dan percaya bahawasanya perkembangan mutakhir di Perak yang dikupas secara imperikal oleh blog-blog, dan kini didedah melalui media alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan membuatkan Umno-BN berada dalam keadaan gundah gulana. Aduhai! Mengapa tidak diharamkan terus penggunaan komputer dan akses internet di seluruh Perak? Rakyat semakin celik, dan akan terus getek melihat tindak tanduk Umno-BN yang kelihatan gagal belajar dari keputusan PRU-12. Umno-BN boleh terus berusaha untuk membenakkan pemikiran rakyat, tetapi di akhirnya mereka akan tahu kelak bahawa rakyat tidak bodoh dan tidak mudah untuk diperbodohkan!" 

DSAI 

Walau bagaimanapun, masih ramai RAKYAT yang tertipu dengan hidangan berita-berita pembohongan yang disampaikan oleh TV, akhbar dan blog yang dikuasai oleh perakus UMNO/BN. 

Justeru peranan para blogger dan pembaca blog harus dipertingkatkan. Bagi tujuan memperkasakan sumbangan para penulis blog (Bahasa Melayu), kerajaan rakyat dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti beberapa blog "Berminda Merdeka" untuk memudahkan kami menyalurkan berita dan maklumat terkini dan tepat. 

Kerajaan Rakyat

Read more...

Penghargaan Buat Sdr. Arumugam

Tuesday, February 10, 2009

Dukacita saya menerima perletakan jawatan Saudara V. Arumugam dari semua jawatan yang disandang beliau; sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau. Mewakili seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saudara Arumugam di atas jasa dan khidmat yang beliau berikan. 

Kerana takutkan bayang-bayang sendiri, Umno-Bn sanggup menggunakan taktik kotor dan politik ugut mengugut ke atas wakil yang dipilih rakyat. Pendedahan YAB Ustaz Azizan pada sidang media sebentar tadi berhubung alasan perletakan jawatan Adun Bukit Selambau tersebut sangat mengejutkan bahkan mengesahkan laporan polis yang dibuat oleh Saudara Arumugam pada awal bulan ini berkenaan ugutan dan segala macam tekanan. Nampaknya perubahan yang dijanjikan hanyalah gimik semata. Rakyat sedar akan permainan silap mata ini, dan rakyat jualah yang akan menentukan keputusannya. 

Buat pendokong Pakatan Rakyat marilah kita sama-sama renungi sirah Nabi S.A.W ketika mana Heraklius memanggil Abu Sufyan:

Heraklius: Adakah pengikutnya dari kalangan orang kaya atau marhaen.

 Abu Sufyan: Rakyat marhaen.

Heraklius: Adakah pengikutnya bertambah atau berkurangan?

Abu Sufyan: Bertambah

Heraklius: Bagaimana perang antara kamu dengan dia?

Abu Sufyan: Ada kala kami menang, ada kala dia.

Dalam masa dua bulan yang akan datang, inshaallah, kita akan menghadapi dua pilihanraya kecil. Inilah masa bagi kita kembali menggilap semangat perjuangan buat kemaslahatan rakyat keseluruhannya. 

ANWAR IBRAHIM

Read more...

Al Fatihah Buat Hj Roslan Shaharum

Monday, February 9, 2009

Saya merakamkan ucapan takziah di atas kematian Ahli Parlimen Bukit
Gantang, Haji Roslan Shaharum tengah hari tadi.Baru semalam sempat
berbual mesra dengan beliau di kediaman rasmi MB Perak.Saya bersama
Sdr Azmin Ali,Shamsul Iskandar dan Hj Osman,bersolat jenazah di mesjid
Mesjid Cangkat Larang,Lahat, Batu Gajah.Al Fatihah buat sahabat dan
rakan seperjuangan YB Roslan dan moga ahli keluarga beliau tetap
bersabar menerima dugaan ini.


ANWAR IBRAHIM

Read more...

MP Bukit Gantang Kembali Ke Rahmatullah

Al-Fatihah kepada Allahyarham Ahli Parlimen (P-056) Bukit Gantang,
Ustaz Roslan bin Shaharum (PAS) yang telah kembali ke Rahmatullah hari
ini.

Allahyarham dikatakan meninggal dunia di Batu Gajah akibat serangan
sakit jantung.

Bersedia untuk satu lagi Pilihanraya Kecil Parlimen dan kali ini kita
bakal berkampung ke (P-056) Bukit Gantang, Ipoh Perak.

Read more...

Dr.Syed Hussin Ali Ulas Isu Karpal

Sunday, February 8, 2009

Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat)


Karpal Singh harus mengemukakan undi tidak percaya terhadap Ketua Umum PR, DSAI jika tidak mahu Anwar terus memimpin pakatan itu.Sebagai seorang ahli Majlis Tertinggi Pakatan, Pengerusi Kebangaan DAP itu mesti mengemukakan cadangan atau undi tidak percaya dalam majlis tersebut jika beliau mahu Anwar berhenti daripada memimpinnya.



Beliau tidak harus bertindak begini. Beliau sepatutnya mengemukakan cadangan atau undi tidak percaya dalam Majlis Tertinggi terhadap Anwar tapi malangnya beliau jarang menghadiri mesyuarat yang kita adakan.Saya percaya Karpal berasa marah terhadap keputusan Pakatan berhubung tindakan undang2 yang patut diambil mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak Khamis lalu.



Pakatan dalam mesyuarat Jumaat lalu memutuskan untuk melantik panel peguam bagi memikirkan pelbagai tindakan yang wajar diambil berhubung perkara itu dan pada masa yang sama tidak menyekat Karpal yang bercadang untuk menyaman Sultan Perak.Pakatan tidak sekat Karpal tapi Pakatan secara sebulat suara setuju supaya panel peguam dibentuk untuk memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil.



Apa yang dinyatakan oleh Anwar adalah keputusan Majlis Tertinggi Pakatan, bukan keputusan beliau sendiri. Jadi, beliau tidak boleh dipersalahkan.Dalam hal ini saya rasa, beliau merasakan yang beliau tidak disokong dalam isu menyaman Sultan Perak. Dalam kenyataannya itu, beliau bukan hanya menyalahkan Anwar malah turut kecewa dengan Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) yang tidak menyokong tindakannya itu.Kadangkala saya sendiri tertanya-tanya apabila melihatkan tindakan yang dilakukan beliau sejak akhir2 ini.



Bila melihat kenyataan dan telatah beliau sejak akhir-akhir ini, hati kecil saya tertanya-tanya, untuk siapa dan untuk apa beliau berkhidmat… untuk apa dan untuk kepentingan siapa,?Saya percaya Anwar akan menghubungi Karpal dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar dan menyelesaikan isu ini.

Read more...

Perutusan MB Perak

BismilahirRahmanirRahim.


Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.


Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.


Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.


Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.


Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri.


Secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.


Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.


UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.


Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar


Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :


Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.


Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.


Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.


Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?


Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.


Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat


Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.


Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.


Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.


Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.


Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.


Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.


Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.


Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak


Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.


Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.


IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

Menteri Besar Perak

Read more...

PR Cabar Lantikan Dr Zambry

Friday, February 6, 2009

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "tidak derhaka" dan menteri besar Pakatan Rakyat itu hanya mengikut undang-undang tubuh negeri.Gabungan pembangkang, tambahnya, menubuhkan panel peguam untuk mengkaji kesahihan pelantikan menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.Beliau juga menjelaskan, Pakatan Rakyat akan terus menerangkan kepada orang ramai apa yang sedang terjadi di negeri itu dan menggesa para penyokongnya membantah secara aman.

Read more...

Kenyataan Akhbar Majlis Pimpinan PR

6 Februari 2009

Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa kesal terhadap tindakan biadap rampasan kuasa di Perak termasuk layanan terhadap YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak di mana semua barangan telah dirampas dari pejabat beliau. Kami mengutuk sekeras-kerasnyatindakan tersebut.

Kami akan memfailkan satu saman bagi mencabar keabsahan perlantikan Menteri Besar yang baru dari Barisan Nasional. Panel peguam sedang mengkaji tindakan ini. Kami masih berpendirian bahawa YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Pada ketika ini pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini. Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional. Kami menggesa kepada semua agar bertindak secara aman dan tertib. Kami merayu agar pihak polis bertugas secara profesional dan tidak menimbulkan sebarang provokasi atau huru hara.

YB DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang / Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR)


YB LIM KIT SIANG

Ketua Ahli Parlimen Democratic Action Party (DAP)


YB USTAZ NASHARUDDIN MAT ISA

Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Read more...

Majoriti Rakyat Bersama Ir Nizar


Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata beliau dan Adun Pakatan Rakyat akan memulaukan majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak esok walaupun mereka juga diundang.Dari jam 10 malam hingga saat ini, kenderaan yang bertali arus di depan kediaman rasmi menteri terus-menerus membunyi hon selama dua jam dipercayai menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.Ceramah berakhir secara aman dengan bacaan doa. Menteri besar Pakatan itu berucap, sementara beberapa pemimpin atasan gabungan itu tidak berceramah. Orang ramai diseru bersolat Jumaat esok di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.Ribuan orang masih berkumpul di tepi-tepi jalan di luar kediaman tersebut dan sehingga kini tiada tanda-tanda mereka akan bersurai.

Read more...

Jamaluddin & Osman dianggap pengkhianat

Tindakan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi meninggalkan KeADILan dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap pengundi di DUN berkenaan.Langkah itu juga dilihat mengkhianati perjuangan KeADILan dan Pakatan Rakyat yang menerajui Perak, sejak Mac lalu.

Adun Teja, Chang Lih Kang berkata,"PR kesal dengan tindakan 2 YB Pengkhianat dan beranggapan bahawa mereka ingin melepaskan diri dari disabitkan dengan tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap mereka.Selain itu,tawaran yang diberikan oleh BN kepada mereka juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan mereka bertindak meninggalkan perjuangan PR dengan memberi sokongan kepada BN,".

Read more...

Ini Dia Wajah MB Hasil Rampasan Kuasa

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini, sejurus tiba dari Perak i Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.Dr Zambry yang juga ketua Umno bahagian Lumut itu memang disebut-sebut bakal dipilih sebagai pengganti Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kerana ketokohannya serta taraf pendidikan tinggi yang dimilikinya.Dr Zambry dijadual mengangkat sumpah di Istana Iskandariah jam 3.30 petang esok.Perdana menteri berkata, Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan ambry sebagai Menteri Besar. 

Read more...

Terkini di Perak

Thursday, February 5, 2009

UPDATE(1:55pm):Menteri Besar Perak dipanggil menghadap Sultan menjelang tengah hari ini, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru. Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan satu majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Bagan Serai pada kira-kira 11.45 pagi tadi. 

Najib berkata,"Sultan Perak memanggil menghadap baginda semua wakil rakyat BN dan tiga yang menyokongnya berkaitan pembentukan kerajaan baru. Tarikh belum dinyatakan.Terserah kepada Sultan Perak untuk membuat apa-apa keputusan. Tuanku akan mengumumkan perkara ini secepat mungkin,". 

Najib tidak mengadakan sidang media selepas bermesyuarat dengan badan pehubungan Umno negeri di pejabatnya di Ipoh. Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan istana Kinta jam 1.05 tengah hari tadi selepas menghadap Sultan Perak 15 minit kemudiannya. Menteri besar itu bersama Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan sidang media jam 3 petang. 

Difahamkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatannya selepas menghadap Sultan Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi.Berkemungkinan besar DUN Perak tidak dibubarkan.Keputusan lanjut kedudukan beliau dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak belum jelas.

Read more...

Dari Rakyat Untuk Rakyat

Kepimpinan semua parti dalam Pakatan Rakyat telah menjanjikan pentadbiran yang berhemah, bertanggungjawab, berwibawa dan mesra rakyat. Pakatan Rakyat amat komited terhadap perjuangan mengangkat martabat dan maruah rakyat.


Ekonomi yang selesa dan stabil, keselamatan rakyat yang terjamin dan pembangunan mampan sentiasa menjadi keutamaan. Justeru, seluruh jentera kepimpinan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sejak Mac 2008 telah diarahkan untuk menumpukan perhatian secara total kearah pentadbiran kerajaan negeri masing-masing.


Demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa berusaha menghindari permainan politik murahan yang tidak menguntungkan rakyat. Sebaliknya menumpukan perhatian terhadap pembangunan negeri untuk rakyat.


Malangnya, kerakusan dan sifat haloba UMNO/BN telah mengganggu urusan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Politik aparat murahan yang ditaja oleh UMNO/BN ini amat merugikan rakyat. Rakyat semakin benci dan penyampah dengan kaedah jijik yang semakin mengukuh dalam UMNO.


Perkembangan semasa lantaran pendustaan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh UMNO/BN, memungkinkan Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri di adakan.


Kerajaan Rakyat

Read more...

Perhimpunan Selamatkan Kerajaan PR Perak

5 Februari 2009

Perhimpunan 100 ribu rakyat akan diadakan hari ini (5 Feb) pada jam 7 malam di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua Menteri Besar Negeri Pakatan Rakyat, bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak dan menuntut agar hak rakyat dikembalikan.

Berikut adalah mesej khas dari Datuk Seri Anwar Ibrahim buat semua penyokong PR:

"Pertahankan Kuasa Rakyat - Saya bersama Menteri Besar dan Pakatan Rakyat esok Khamis 7:30 malam di Ipoh. Saya yakin, Insyallah rakyat yang menentukan."

Semua penyokong Pakatan Rakyat dan aktivis diminta hadir untuk memberi sokongan.

BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT

Read more...

Silap Mata Ini Mainan Siapa?

Wednesday, February 4, 2009

Suruhanjaya Piliharaya (SPR) hari ini mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri Behrang dan Changkat Jering tidak dikosongkan, oleh itu perletakan jawatan kedua-dua Adun tersebut tidak sah. Tindakan SPR ini menimbulkan persoalan undang-undang yang besar implikasinya,kerana kuasa mengisytiharkan pilihanraya kecil ada di tangan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Saya berpendapat kuasa untuk menentukan kesahihan surat tersebut bukanlah di dalam bidangkuasa SPR bahkan ianya harus dirujuk ke mahkamah. Kuasa SPR hanya untuk memastikan kelicinan perjalanan proses pilihanraya. Mengapa harus SPR melanggar batas bidangkuasa yang dimiliki Speaker DUN Perak? Malah ada pengkaji dan pengamal undang-undang menganggap keputusan SPR bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Nyata sekali Datuk Seri Najib akan menghalang pilihanraya diadakan kerana bimbang dengan kemaraan rakyat.Apa penyudah sebalik semua ini?Mungkin hanya tok dalang yang pandai bermain silap mata dengan menghilangkan orang tanpa dikesan mampu menjawabnya.

ANWAR IBRAHIM

Read more...

SPR:Dua exco Perak masih Adun

Tuesday, February 3, 2009

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi yang dilaporkan telah meletak jawatan kelmarin,masih sah sebagai wakil rakyat.

Ia diumumkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebentar tadi selepas mengadakan mesyuarat lebih dua sebentar tadi.Dengan itu pilihan raya kecil tidak akan diadakan.

Semalam beliau berkata, mesyuarat berkenaan akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk dari sudut perundangan bagi memastikan keputusan yang akan diambil tidak menimbulkan sebarang implikasi.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dalam kenyataan mengumumkan bahawa ADUN Behrang, Jamaluddin dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada 5.45 petang semalam.

Pagi semalam beliau memaklumkan kekosongan kedua-dua kerusi itu kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.Bagaimanapun kedua-dua ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lepas, pada malam kelmarin menafikan kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bahawa mereka telah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan Sivakumar adalah surat yang ditandatangani mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum lalu.Jamaluddin dan Mohd Osman semalam bagaimanapun menyatakan akan kembali bertugas seperti biasa dan "tidak timbul mereka telah bertukar parti.

Read more...

Yang Hilang Dan Dihilangkan

Monday, February 2, 2009

Balasubramaniam telah hilang tahun lalu, sehari sesudah dia membuat Pengakuan Bersumpah.Hingga ke hari ini tidak ada khabar berita tentang Bala. Kehilangan Bala ada sangkut paut dengan pembunuhan gadis cun Altantuya Shaaribu dari Mongolia. Pembunuhan Altantuya ini juga bersabit dengan Razak Baginda. Razak Baginda ialah 'jurifikir' Najib Razak.

Pengakuan Bersumpah Bala menerangkan bahawa Najib Razak ialah kekasih awal Altantuya – sebelum gadis cun ini menjadi 'kekasih' Razak Baginda. Justeru pertalian ini menjadikan umum mempercayai bahawa kehilangan Bala ada bersangkut paut dengan Najib Razak.

Justeru apabila dua Adun PKR yang menghadapi tuduhan rasuah di Perak hilang maka Anwar Ibrahim Ketua Pembangkang telah meminta para wartawan pergi bertanyakan hal 'hilang' ini kepada Najib Razak.Menurut Anwar Ibrahim Najib ialah 'juru hilang'.

Belum pun sempat wartawan menemui Najib – dua orang wakil-wakil rakyat dari Perak yang 'hilang' ini telah di beritakan akan berhenti dari menjadi wakil rakyat. Tuan Speaker Dewan Undangan Perak telah menyatakan bahawa beliau telah menerima fax dimana dua orang wakil rakyat ini akan berhenti.

Surat berhenti dari menjadi wakil rakyat ini telah di tanda tangani pada bulan Mac dahulu. Ini ketika wakil-wakil rakyat ini baru saja di lantik menjadi wakil rakyat. Jadi TIDAK MASUK AKAL jika tiga atau empat hari sesudah menjadi YB mereka didesak atau dipakasa untuk membuat surat berhenti ini.

Tiga empat hari sesudah menjadi YB pastilah mereka tersenyum hingga koyak ke telinga. Justeru kenyataan yang mengatakan mereka 'dipaksa' untuk membuat surat ini akan menjadi ' lawak bodoh senario' kerana tidak masuk akal.Hakikatnya dua orang wakil rakyat ini telah berhenti.

Hakikatnya perlu diadakan pilihanraya kecil untuk kerusi yang telah dikosongkan.Tidak perlu ada ooook. Tidak perlu ada eeeek. Mereka telah berhenti.Maka dua kerusi - di Behrang dan Changkat Jering telah kosong.Pilihanraya kecil wajib dijalankan 60 dari tarikh pemberhentian itu.Ooook ooook dan eeek eeek ini hanyalah alasan.

Parti politik – Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – tidak perlu berdolak dalik lagi. Kerusi kosong wajib di isi. Pilihanraya kecil wajib dijalankan.Mana–mana parti politik yang berdolak dalik tidak mahu pilihanraya kecil di adakan maka akan terbukti bahawa parti ini TIDAK ada keyakinan untuk menang.

Parti yang takut untuk menyokong pilihanraya kecil adalah parti yang sedar bahawa mereka TIDAK lagi mendapat sokongan rakyat.Jika Pakatan Rakyat tidak mahu mengadakan pilihanrya kecil maka ertinya Pakatan sedar bahawa mereka tidak ada sokongan orang ramai.

Jika Barisan Nasional tidak mahu mengadakan pilihanraya kecil ertinya Barisan Nasional sedar bahawa mereka tidak ada sokongan orang ramai.Kerana TAKUT kalah maka mereka akan beroook dan bereeek.Langkah paling terbaik ialah membubarkan dewan negeri Perak dan mengadakan satu pilihanraya untuk negeri Perak. Kita lihat siapa yang akan mendapat sokongan rakyat.

Najib Razak tidak perlu berkek kok dan berkuntau lidah untuk mengelakkan diri dari pilihanraya kecil atau pilihan raya Dewan Undangan Perak. Wakil-wakil rakyat tidak perlu lari larau atau dihilangkan macam Balasubramaniam. Tugas wakil rakyat bukan untuk 'hilang bercuti' ke Pekan. Tugas wakil rakyat ialah mewakili rakyat dalam Dewan Undangan.Orang ramai semuanya menunggu pilihanraya kecil atau pilihanraya untuksemua kerusi negeri Perak.

Oleh:Hisamuddin Rais

Read more...

DSAI:Kerajaan PR Di Perak Masih Stabil

Sunday, February 1, 2009

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak masih stabil dan semua wakil rakyat PKR menyokong penuh kepemimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam menangani kemelut politik yang dicetuskan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan negeri PR juga bersedia untuk kembali kepada rakyat jika perlu bagi mengatasi permainan politik UMNO.Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi kencang bahawa ADUN PKR Behrang Jamaluddin Mat Radzi and Osman Jailu, wakil rakyat Changkat Jering, sudah menyertai BN.

Kedua-dua ADUN itu dikhuatiri termakan dengan gula-gula yang ditawarkan oleh UMNO, khususnya janji membebaskan mereka daripada tuduhan rasuah sekiranya dua wakil rakyat itu menyertai UMNO.Perbicaraan mereka dijadualkan bermula 10 Febuari ini.

Jamaluddin dan Osman didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah sebagai menerima sogokan berhubung sebuah projek perumahan di Bandar Seri Iskandar.Mereka mengaku tidak bersalah dan mendakwa tuduhan itu mempunyai motif politik untuk melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak berbanding 27 untuk BN.Jika UMNO berjaya memancing dua ADUN PKR itu, BN akan mempunyai 29 kerusi, kurang satu berbanding Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas berjumpa dengan beberapa wakil rakyat PKR dari Perak, Anwar berkata semua wakil rakyat parti itu menyokong penuh kepemimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.Pakatan Rakyat juga bersedia untuk kembali mendapatkan mandat rakyat sekiranya perlu.

UMNO kini dalam keadaan terdesak. Najib Razak terpaksa mengambil alih kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional Perak berikutan perletakkan jawatan Tajol Rosli Jumaat lalu.Tajol berbuat demikian setelah ADUN UMNO Bota Datuk Nasaruddin Hashim bertindak keluar dari UMNO untuk menyertai PKR.

Berikutan itu, UMNO dikata melancarkan usaha-usaha terdesak untuk memancing wakil rakyat Pakatan Rakyat menyertai parti itu.Jamaluddin dan Osman yang menghadapi tuduhan rasuah dikatakan menjadi sasaran utama UMNO.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP