"Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing2 terus terjamin & menggalakkan peranan agama serta nilai2 sejagat untuk menegakkan kebenaran,keadilan,ketinggian akhlak,pembangunan insan & martabat manusia"

Penghargaan Buat Sdr. Arumugam

Tuesday, February 10, 2009

Dukacita saya menerima perletakan jawatan Saudara V. Arumugam dari semua jawatan yang disandang beliau; sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau. Mewakili seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saudara Arumugam di atas jasa dan khidmat yang beliau berikan. 

Kerana takutkan bayang-bayang sendiri, Umno-Bn sanggup menggunakan taktik kotor dan politik ugut mengugut ke atas wakil yang dipilih rakyat. Pendedahan YAB Ustaz Azizan pada sidang media sebentar tadi berhubung alasan perletakan jawatan Adun Bukit Selambau tersebut sangat mengejutkan bahkan mengesahkan laporan polis yang dibuat oleh Saudara Arumugam pada awal bulan ini berkenaan ugutan dan segala macam tekanan. Nampaknya perubahan yang dijanjikan hanyalah gimik semata. Rakyat sedar akan permainan silap mata ini, dan rakyat jualah yang akan menentukan keputusannya. 

Buat pendokong Pakatan Rakyat marilah kita sama-sama renungi sirah Nabi S.A.W ketika mana Heraklius memanggil Abu Sufyan:

Heraklius: Adakah pengikutnya dari kalangan orang kaya atau marhaen.

 Abu Sufyan: Rakyat marhaen.

Heraklius: Adakah pengikutnya bertambah atau berkurangan?

Abu Sufyan: Bertambah

Heraklius: Bagaimana perang antara kamu dengan dia?

Abu Sufyan: Ada kala kami menang, ada kala dia.

Dalam masa dua bulan yang akan datang, inshaallah, kita akan menghadapi dua pilihanraya kecil. Inilah masa bagi kita kembali menggilap semangat perjuangan buat kemaslahatan rakyat keseluruhannya. 

ANWAR IBRAHIM

Read more...

Al Fatihah Buat Hj Roslan Shaharum

Monday, February 9, 2009

Saya merakamkan ucapan takziah di atas kematian Ahli Parlimen Bukit
Gantang, Haji Roslan Shaharum tengah hari tadi.Baru semalam sempat
berbual mesra dengan beliau di kediaman rasmi MB Perak.Saya bersama
Sdr Azmin Ali,Shamsul Iskandar dan Hj Osman,bersolat jenazah di mesjid
Mesjid Cangkat Larang,Lahat, Batu Gajah.Al Fatihah buat sahabat dan
rakan seperjuangan YB Roslan dan moga ahli keluarga beliau tetap
bersabar menerima dugaan ini.


ANWAR IBRAHIM

Read more...

MP Bukit Gantang Kembali Ke Rahmatullah

Al-Fatihah kepada Allahyarham Ahli Parlimen (P-056) Bukit Gantang,
Ustaz Roslan bin Shaharum (PAS) yang telah kembali ke Rahmatullah hari
ini.

Allahyarham dikatakan meninggal dunia di Batu Gajah akibat serangan
sakit jantung.

Bersedia untuk satu lagi Pilihanraya Kecil Parlimen dan kali ini kita
bakal berkampung ke (P-056) Bukit Gantang, Ipoh Perak.

Read more...

Dr.Syed Hussin Ali Ulas Isu Karpal

Sunday, February 8, 2009

Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat)


Karpal Singh harus mengemukakan undi tidak percaya terhadap Ketua Umum PR, DSAI jika tidak mahu Anwar terus memimpin pakatan itu.Sebagai seorang ahli Majlis Tertinggi Pakatan, Pengerusi Kebangaan DAP itu mesti mengemukakan cadangan atau undi tidak percaya dalam majlis tersebut jika beliau mahu Anwar berhenti daripada memimpinnya.



Beliau tidak harus bertindak begini. Beliau sepatutnya mengemukakan cadangan atau undi tidak percaya dalam Majlis Tertinggi terhadap Anwar tapi malangnya beliau jarang menghadiri mesyuarat yang kita adakan.Saya percaya Karpal berasa marah terhadap keputusan Pakatan berhubung tindakan undang2 yang patut diambil mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak Khamis lalu.



Pakatan dalam mesyuarat Jumaat lalu memutuskan untuk melantik panel peguam bagi memikirkan pelbagai tindakan yang wajar diambil berhubung perkara itu dan pada masa yang sama tidak menyekat Karpal yang bercadang untuk menyaman Sultan Perak.Pakatan tidak sekat Karpal tapi Pakatan secara sebulat suara setuju supaya panel peguam dibentuk untuk memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil.



Apa yang dinyatakan oleh Anwar adalah keputusan Majlis Tertinggi Pakatan, bukan keputusan beliau sendiri. Jadi, beliau tidak boleh dipersalahkan.Dalam hal ini saya rasa, beliau merasakan yang beliau tidak disokong dalam isu menyaman Sultan Perak. Dalam kenyataannya itu, beliau bukan hanya menyalahkan Anwar malah turut kecewa dengan Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) yang tidak menyokong tindakannya itu.Kadangkala saya sendiri tertanya-tanya apabila melihatkan tindakan yang dilakukan beliau sejak akhir2 ini.



Bila melihat kenyataan dan telatah beliau sejak akhir-akhir ini, hati kecil saya tertanya-tanya, untuk siapa dan untuk apa beliau berkhidmat… untuk apa dan untuk kepentingan siapa,?Saya percaya Anwar akan menghubungi Karpal dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar dan menyelesaikan isu ini.

Read more...

Perutusan MB Perak

BismilahirRahmanirRahim.


Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.


Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.


Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.


Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.


Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri.


Secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.


Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.


UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.


Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar


Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :


Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.


Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.


Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.


Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?


Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.


Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat


Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.


Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.


Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.


Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.


Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.


Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.


Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.


Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak


Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.


Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.


IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

Menteri Besar Perak

Read more...

PR Cabar Lantikan Dr Zambry

Friday, February 6, 2009

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "tidak derhaka" dan menteri besar Pakatan Rakyat itu hanya mengikut undang-undang tubuh negeri.Gabungan pembangkang, tambahnya, menubuhkan panel peguam untuk mengkaji kesahihan pelantikan menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.Beliau juga menjelaskan, Pakatan Rakyat akan terus menerangkan kepada orang ramai apa yang sedang terjadi di negeri itu dan menggesa para penyokongnya membantah secara aman.

Read more...

Kenyataan Akhbar Majlis Pimpinan PR

6 Februari 2009

Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa kesal terhadap tindakan biadap rampasan kuasa di Perak termasuk layanan terhadap YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak di mana semua barangan telah dirampas dari pejabat beliau. Kami mengutuk sekeras-kerasnyatindakan tersebut.

Kami akan memfailkan satu saman bagi mencabar keabsahan perlantikan Menteri Besar yang baru dari Barisan Nasional. Panel peguam sedang mengkaji tindakan ini. Kami masih berpendirian bahawa YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Pada ketika ini pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini. Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional. Kami menggesa kepada semua agar bertindak secara aman dan tertib. Kami merayu agar pihak polis bertugas secara profesional dan tidak menimbulkan sebarang provokasi atau huru hara.

YB DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang / Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR)


YB LIM KIT SIANG

Ketua Ahli Parlimen Democratic Action Party (DAP)


YB USTAZ NASHARUDDIN MAT ISA

Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP